Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan terdapat satu lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 dikesan pada Ahad membabitkan Kluster Ara di Pulau Pinang di mana sebanyak dua kes dicatat setakat ini.

Menerusi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes indeks Kluster Ara itu membabitkan seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan warganegara Malaysia (kes ke-10024).

Lelaki tersebut telah dikesan positif COVID-19 melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah pada 15 September 2020.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan satu kes positif COVID-19 dikenal pasti. Kes positif ini (kes ke-10217) merupakan merupakan anak saudara kepada kes indeks (iaitu kes ke-10024).

Kes dikesan positif COVID-19 pada 19 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Pihak KKM juga telah melakukan saringan terhadap 16 individu susulan kes tersebut di mana 14 individu didapati negatif, manakala dua daripadanya positif.

Seorang lagi individu merupakan kontak rapat kepada lelaki terbabit iaitu merupakan anak saudaranya dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan terdapat 27 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 578 kes.

Dua kes baharu turut membabitkan Kluster Selamat di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini ialah 7 kes.

Bagi Kluster Bakau pula sebanyak satu lagi kes baharuj dicatatkan setakat Ahad menjadikan jumlah keseluruhan bagi kluster tersebut ialah 4 kes.

Kluster Pulau turut mencatatkan satu lagi kes baharu menjadikan jumlah terkini bagi kes kluster tersebut ialah 15 kes.

Jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 pada hari ini ialah 52 kes menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan setakat ini 10,219.

Bagaimanapun tiada kes kematian dicatatkan sehingga hari ini yang menyaksikan jumlah kematian setakat ini kekal 130 (1.27%).

Kenyataan KKM hari ini juga menunjukan kes aktif yang dicatatkan sehingga Ahad adalah 734.

Manakala jumlah yang discaj pula sehingga hari ini ialah 40 menjadikan jumlah kumulatif yang telah didiscaj ialah 9,355 (91.55%).

Sementara jumlah kes aktif yang dicatatkan sehingga Ahad ialah 734.

Terdapat 10 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara dua kes memerlukan bantuan pernafasan.