Kementerian Sumber Manusia menasihatkan majikan termasuk Malaysia Airlines Berhad (MAB) agar mengambil beberapa tindakan yang mengutamakan kebajikan pekerja berikutan penularan virus COVID-19.

Menteri berkenaan Datuk Seri M. Saravanan berkata antara tindakan yang perlu diambil ialah mematuhi peruntukan undang-undang Perburuhan, Perjanjian Kolektif sekiranya ada, dan Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan (COC).

Selain itu, pihak majikan perlu meneruskan sesi libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan penyakit itu.

"Kementerian dalam satu mesyuarat bersama pihak pengurusan MAB pada 11 Mac lepas telah dimaklumkan mengenai beberapa tindakan awal telah diambil pihak MAB sejak berlakunya penularan virus Covid-19.

"Antaranya, penerangan kepada semua pekerja oleh ketua pegawai eksektif (CEO) syarikat melalui sistem eVoice dan sesi libat urus pada 10 Mac," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BACA: COVID-19: 190 kes baharu dicatat, jumlah meningkat kepada 428

Bagaimanapun, pihak MAB memaklumkan bahawa proses lantikan baharu dan kenaikan pangkat akan dibekukan.

Pihaknya juga dimaklumkan bahawa pekerja turut digalakkan untuk mengambil cuti tidak berbayar secara sukarela bagi tempoh tiga bulan ataupun cuti tidak berbayar sebanyak lima hari sebulan bagi tempoh tiga bulan.

"Permohonan secara sukarela itu perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Jabatan di MAB," katanya.

Saravanan berkata kementerian juga dimaklumkan bahawa buat masa ini, tiada keperluan bagi pihak MAB melakukan pembuangan pekerja dan ia adalah langkah terakhir yang akan difikirkan oleh MAB.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia akan sentiasa memantau dan menasihat mana-mana majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil lanjutan daripada penularan virus itu yang melibatkan kebajikan pekerja.

Ini bagi memastikan suasana keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan akan kekal sihat dan kondusif tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta kelangsungan syarikat, katanya.

-- BERNAMA