Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) peringkat antarabangsa yang dijadualkan pada 6 hingga 11 April ini ditangguhkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya.

Menurut Paimuzi, MTHQA yang dibakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Tindakan ini susulan keputusan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk acara yang melibatkan penyertaan dalam dan luar negara ditangguhkan berikutan situasi semasa wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

MTHQA merupakan acara tahunan yang telah dianjurkan sejak 61 tahun yang lalu.

Acara ini disertai oleh lebih 60 buah negara dari seluruh dunia bagi memperdengarkan bacaan dan hafazan ayat-ayat suci al-Quran.

Dalam perutusan khas pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa ditangguhkan sehingga 30 April depan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu telah mengisytiharkan penularan COVID-19 sebagai pandemik.