Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu lagi kematian dilaporkan berkait wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan kematian pertama melibatkan seorang doktor perubatan KKM.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia 10.33 pagi tadi merupakan kes ke-890 berusia 48 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Turki.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.

BACA: SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG COVID-19

“Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.






Ujarnya, kes jangkitan COVID-19 tersebut disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan atau frontliners.

"Kes jangkitan COVID-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit COVID-19. Ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara," tambahnya lagi.