KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 4,774 jangkitan baharu COVID-19 pada Isnin yang menyaksikan sedikit penurunan dari semalam sebanyak 4,915 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes baharu itu, 
jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 dalam negara kini mencapai 2,870,758 kes.

Sementara jumlah kematian yang dicatatkan setakat semalam pula adalah lapan kes menjadikan jumlah terkini kumulatif korban di negara ini akibat COVID-19 adalah 31,965 kematian.


Dalam perkembangan sama, kes membabitkan Brought in Dead pula adalah satu kes dengan jumlah kesuluruhan kes tersebut adalah 6,442.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan sejumlah 3,232 kes sembuh pada Isnin dengan jumlah kumulatif kes sembuh keseluruhan adalah 2,784,003.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah 114 kes dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kluster baharu yang direkodkan pula ialah 14 kluster dengan jumlah kluster aktif ketika ini ialah sebanyak 314.

Daripada 4,774 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 4,738 kes (99.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala 36 kes (0.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.