KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 7,857 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 541,224.

Daripada jumlah kes yang dikesan hari ini, 2,675 dikesan di Selangor diikuti Kelantan (754) dan Sarawak (772), kata Dr Noor Hisham dalam pautan Twitternya yang terbaharu pada Khamis. 


Berdasarkan jumlah angka kes baharu yang dilaporkan, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lapan kes import dilaporkan menerima jangkitan dari luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 69,408 kes,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Malaysia masih merekodkan angka kes kematian baharu sebanyak 59 kes menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 2,491 kes.

Setakat ini, sebanyak 771 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 392 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh secara keseluruhannya kini sebanyak 469,325 dengan pertambahan 4,598 kes sembuh baharu yang dilaporkan hari ini.