KUALA LUMPUR:Masih tiada ubat berkesan yang mampu mencegah penyakit COVID-19, jika ada sekalipun, sudah pastinya pelopor itu kini menjadi kaya raya.

Itu tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas ramai mendakwa terdapat beberapa kaedah yang kini boleh merawat virus itu.

“Jadi banyak yang mendakwa atau membuat tuntutan bahawa mereka boleh merawat penyakit COVID-19 dan sebagainya.

“Setakat ini, tiada ubat yang berkesan termasuk hydroxychloroquine, termasuk ubat antiviral Kaletra, mahupun lopinavir dan ritonavir. Ia termasuk juga ubat jenis remdesivir," jelas Dr Noor Hisham.

BACA: COVID-19: Jangan sewenang-wenangnya ambil dexamethasone - Dr Noor Hisham 

BACA: COVID-19: 847 kes positif, lima kematian, 6 kluster baharu antara tumpuan sidang media KKM 

Tambah beliau, pihaknya kini hanya menggunakan ubat jenis steroid iaitu dexamethasone, namun ia hanya sesuai digunakan untuk pesakit COVID-19 di kategori empat atau lima sahaja.

“Pihak KKM banyak menggunakan dexamethasone bagi merawat pesakit dan ia masih diguna pakai sehingga hari ini.

“Tiada ubat yang telah dikenal pasti boleh menyembuhkan jangkitan COVID-19 ini.

“Jadi, kalau ada ubat pun mungkin vitamin atau sebagainya, itu tiada masalah tetapi ubat untuk menyembuhkan jangkitan COVID-19 tiada lagi setakat ini.

“Kalau mereka ada (penawar vaksin COVID-19), bererti mereka sudah kaya-raya ketika ini kerana satu dunia sedang mencari ubat berkesan untuk merawat virus itu,” tambah Dr Noor Hisham.

Terdahulu, dunia dikejutkan dengan kematian pertama direkodkan membabitkan sukarelawan ujian klinikal bagi vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Universiti Oxford.

Menurut pihak berkuasa pada Rabu, lelaki berkenaan dilaporkan meninggal dunia di Brazil.

Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada mangsa menerima vaksin berkenaan, atau plasebo.

Media antarabangsa melaporkan sukarelawan berkenaan merupakan seorang doktor berusia 28 tahun.

Petugas barisan hadapan itu disahkan meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.

Oxford dalam kenyataan memaklumkan hasil penilaian teliti terhadap kes di Brazil, pihaknya mendapati tiada kebimbangan mengenai keselamatan ujian klinikal tersebut.

BACA: COVID-19: Sukarelawan maut, ujian vaksin di Brazil diteruskan