Semua aktiviti dan program keagamaan di masjid dan surau di seluruh Sarawak ditangguhkan berkuatkuasa serta-merta selama 15 hari.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataannya pada Selasa memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penularan wabak virus COVID-19 yang telah dikategorikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keputusan MIS ini juga berpandukan kepada keputusan Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak yang bersidang pada 16 Mac lalu dipengerusikan oleh Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin.

Ia juga selaras pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai Perintah Kawalan Pergerakan pada malam Isnin.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM

BACA: Ucapan penuh: Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai COVID-19

Susulan itu MIS telah mengambil keputusan menangguhkan sementara semua aktiviti masjid dan surau di seluruh negeri ini termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah bermula 17 hingga 31 Mac 2020.

Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, azan masih perlu dilaungkan pada setiap waktu solat di masjid dan surau sepanjang tempoh tersebut

"Walaupun masjid surau kita ditutup sepenuhnya sepanjang minggu ini dan seterusnya, laungan azan tetap diteruskan setiap solat waktu.

"Muazin diminta untuk melaungkan azan di semua surau kita mengikut waktu waktu solat," jelas Dr Abdul Rahman.

Katanya, pelanjutan atau penamatan tempoh 15 hari ini adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan daripada KKM yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.