MACHANG: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini diberikan cuti panjang selepas dijangkiti COVID-19, kembali bertugas pada Isnin.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pas itu berkata, beliau ketika ini masih mendapatkan rawatan susulan.

"Baru seminggu keluar hospital. Selepas kena COVID-19, ada jangkitan kuman. Jadi, sekarang ini, Alhamdulillah, tiada masalah saraf tetapi rasa letih.

"Badan jadi lemah kerana ambil antibiotik. Kena teruskan sambung makan ubat untuk selama dua minggu," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas program Ceramah Badar Al Kubra, di sini, malam tadi.

Mohd Amar berkata, susulan dijangkiti COVID-19 pada awal Mac lepas, beliau terpaksa menjalani rawatan di hospital.

Tambahnya, pasca-COVID-19, berlaku pula jangkitan kuman, menyebabkan tubuhnya agak lemah serta terpaksa mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Katanya, beliau kini mulai kembali pulih selepas lebih sebulan diberikan cuti untuk menjalani rawatan.

Beliau dilaporkan mengalami gejala COVID-19 selepas pulang dari kempen Pilihan Raya Negeri Johor pada 13 Mac lalu.