Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP tersebut dirangka bagi menghadapi musim tengkujuh di negeri-negeri, khususnya di Pantai Timur.
Ismail Sabri berkata NADMA telah membentangkan SOP yang melibatkan pengurusan sebelum, semasa dan selepas operasi termasuk penetapan dan pengendalian Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Berikut SOP pengurusan banjir:
- PPS boleh dibuka dikawasan PKPB sekiranya tidak dapat dielakkan.
- Setiap PPS perlu dilengkapi Kod QR MySejahtera dan setiap petugas serta mangsa banjir yang terlibat perlu menggunakan aplikasi tersebut.
- PPS perlu di disinfeksi sebelum menerima mangsa banjir.
- PPS perlu menyediakan peralatan mencukupi termasuk pelitup muka, cecair pembasmi kuman, penyukat suhu dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).
- Semua kawasan tertutup di PPS perlu dibiarkan terbuka bagi membolehkan peredaran udara yang mencukupi untuk mengeluarkan partikel yang tercemar.
- Proses pemindahan mangsa ke PPS perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan PPS semasa COVID-19 dan mengikut nasihat KKM.
- Penyediaan sajian kepada mangsa dan petugas di PPS adalah secara berbungkus (packed meal).
- Setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS perlu disaring dan kemudian ditempatkan dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal.
- Mangsa banjir juga akan dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada setiap masa.
- Bagi mangsa banjir yang bergejala, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan dan jika negatif, mereka akan diasingkan di ruang pengasingan khas yang disediakan.
- Tempoh pengasingan mangsa bergejala adalah tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan oleh KKM.
- Bagi NGO yang ingin menyalurkan bantuan, mereka dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Pengurusan Bencana Daerah bagi tujuan penyelarasan.
Katanya lagi, pihak NADMA juga telah memberikan taklimat dan penerangan secara terperinci kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.