PUTRAJAYA: Beberapa perkembangan positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri telah mula dilihat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata, perkembangan positif itu dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya), dengan Labuan mencatatkan sifar kes semalam.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada 13 Ogos 2021 menyatakan bahawa Operasi Lonjakan Kapasiti (Operation Surge Capacity) di Lembah Klang sejak 26 Julai lalu telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.

“Data yang dikumpul oleh KKM menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

“Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

“Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun,” katanya lagi.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, pada 31 Julai 2021, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.

Dengan hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, tambahnya lagi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021.

“Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Walau bagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa,” katanya lagi.

Bagaimana pun, Perdana Menteri berkata, penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang yang diumumkan itu terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

Selain itu, katanya lagi, individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan tersebut juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.

“Sebagai contoh, sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus.

“Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuat kuasa,” katanya lagi.

Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau menggesa rakyat Malaysia untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi.

Majikan juga, katanya lagi, perlu memainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi.