KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia mencatat penurunan ketika beberapa negeri hari ini mula beralih ke fasa kedua program pemulihan negara (PPN).

Kadar kebolehjangkitan pada Ahad direkod pada 1.06 berbanding 1.07 pada Sabtu.

Empat negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Pahang dan Putrajaya catat kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.17 diikuti Melaka dan Selangor masing-masing dengan 1.12 serta 1.08.

Enam negeri mencatat kadar R-naught di bawah 1.0.

Ini melibatkan Negeri Sembilan, Johor, Labuan, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

Perlis pula mencatat sifar kes.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.