R-Nought (R0) tertinggi yang direkodkan di negara ini adalah 1.37 pada 22 Julai 2020 dan yang terendah pula 0.58 pada 4 Ogos 2020.

Namun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, selepas 4 Ogos, kluster-kluster baharu mula dilaporkan di negara ini termasuklah Kluster Tawar menyebabkan R0 telah meningkat.

Pada 26 Ogos 2020, R0 yang dilaporkaan adalah 0.74 dan jumlah itu perlu diturunkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.

"Pada 26 Ogos 2020, R0 yang dilaporkan adalah 0.74. Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha untuk mengurangkan R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan.

"Ia membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.Oleh itu, masyarakat diminta untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan," ujar beliau dalam sidang media pada Khamis.

R0 merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes itu.