Terdapat tujuh kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di negara ini hari ini, sekaligus terdapat 36 kes direkodkan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini jumlah kes sembuh adalah 22 kes iaitu 61.1 peratus.

"Sebanyak 14 kes masih lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur. Kesemua kes yang dirawat di wad adalah dalam keadaan stabil," memetik kenyataan itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati seluruh rakyat Malaysia agar tidak panik dengan melakukan pembelian panik susulan penularan wabak COVID-19.

Beliau pada masa sama mahu setiap lapisan masyarakat mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan sewajarnya.

"Perdana Menteri menasihatkan seluruh rakyat agar tidak panik dengan melakukan panic-buying dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan sepertimana yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Mereka yang berkunjung ke negara berisiko seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Itali hendaklah mematuhi nasihat perjalanan dan kesihatan yang dikeluarkan dan segera ke hospital/klinik sekiranya mempunyai simptom seperti batuk, demam dan sesak nafas," memetik kenyataan itu.

Kenyataan itu menyusul pasca perbincangan beliau bersama Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Beliau turut berpuas hati dengan Agensi Kerajaan yang telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan penularan COVID-19 dan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya kakitangan barisan hadapan dan kakitangan perubatan.

"YAB Perdana Menteri juga mengarahkan agar Pasukan Petugas Khas terus memantau status dan usaha-usaha pencegahan penularan COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia," memetik kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja Mengenai COVID-19 yang dipengerusikan oleh Mohd Zuki bermesyuarat secara berkala bagi meneliti status situasi terkini dan mengambil tindakan bagi mengekang penularan COVID-19.