KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi mencipta rekod tertinggi bagi kadar kebolehjangkitan (R-naught atau Rt) COVID-19, sejak pandemik bermula dua tahun lalu.

Nilai Rt 1.32 direkodkan pada Isnin, berbanding 1.27 pada Ahad, sekali gus mencatatkan trend peningkatan sejak beberapa hari lalu.

Dalam perkongsian infografik, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter memaklumkan, empat negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Sabah dan Perlis mencatat kadar tertinggi dengan nilai Rt 1.54, disusuli Sarawak dengan 1.48 dan Terengganu 1.36.

Ini diikuti Kedah (1.32), Putrajaya (1.29), Pulau Pinang (1.25), Johor dan Pahang (masing-masing 1.24) dan Selangor, Melaka dan Perak (masing-masing 1.23).

Manakala Kelantan mencatatkan nilai Rt pada 1.16, Negeri Sembilan (1.12), Kuala Lumpur (1.09) dan Labuan dengan 11 kes.

Kementerian Kesihatan pada Ahad menjangkakan kes jangkitan COVID-19 dalam negara boleh mencecah sehingga 22,000 pada akhir Mac ini.

Dr Noor Hisham berkata, jangkaan itu berdasarkan nilai kebolehjangkitan kebangsaan pada Rt 1.20.

Sebelum ini, kadar R-naught tertinggi dicatatkan adalah pada 6 Feb 2022 dengan 1.27.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu-satu kes positif.