KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan kes kematian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lalu, iaitu sebanyak 55 kes.

Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun dua daerah yang mencatatkan kes kematian dua digit ialah Tuaran (12 kes) dan Kota Kinabalu (10 kes).

"Manakala, sebanyak tujuh kes dilaporkan di Tawau, enam kes di Sandakan, empat kes di Lahad Datu, tiga kes di Penampang; dan Putatan, Keningau, Beluran serta Papar masing-masing mencatatkan dua kes.

"Satu kes kematian dicatatkan di Kuala Penyu, Kalabakan, Tenom, Kudat dan Kinabatangan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata satu kluster melibatkan penularan di tempat kerja dilaporkan hari ini, iaitu Kluster Semawang, Sandakan.

Kluster ini melibatkan pekerja di sebuah kilang papan yang bekerja dan tinggal di kuarters premis tersebut.

"Pada 19 Ogos lalu, sebuah klinik swasta telah melaporkan 10 notifikasi kes positif COVID-19 kepada CPRC Sandakan.

"Kes indeks adalah pekerja lelaki, 40 tahun, bukan warganegara yang dikesan COVID-19 dengan keputusan RTK AG grading 100% dalam saringan pekerjaan," katanya sambil menambah terdapat tiga lagi kes baharu dikesan pada 27 Ogos di lokaliti sama.

Justeru, katanya pengurus kilang telah membuat saringan terhadap 376 pekerja mulai 30 Ogos dan mendapati 103 orang pekerjanya disahkan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 116 kes positif.

Sebanyak 2,279 kes COVID-19 baharu telah dikesan di Sabah hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 157,285 kes.