KOTA KINABALU: Sabah bakal menerima lebih dua juta dos vaksin COVID-19 yang sekali gus mampu membantu dalam melancarkan program vaksinasi di negeri itu. 

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bekalan vaksin itu akan tiba dalam dua kumpulan, iaitu satu juta dos vaksin pada bulan ini dan selebihnya 1.2 juta dos lagi pada bulan depan.

Beliau turut berkata, tambahan dos vaksin ini diharap dapat memperhebatkan program jangkauan luar (mobile outreach) pemberian vaksin di pedalaman negeri itu.

“Saya berharap pemberian vaksin ini akan berjalan lancar termasuk untuk program mobile outreach. Ini bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita tahu di luar bandar mereka tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dan menerusi program mobile outreach, suntikan vaksin akan diberikan kepada mereka jika datang ke program berkenaan.

“Justeru, dengan penambahan vaksin pada bulan ini dan bulan depan, sudah pasti membantu meningkatkan jumlah penduduk yang menerima vaksin di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai status COVID-19 dan PICK daerah Ranau, dalam lawatan seharinya ke Kundasang.

Hajiji berkata penambahan vaksin itu juga akan mengelak rakyat daripada terkena jangkitan virus itu sekali gus dapat mengekang penularan pandemik ini.

Terdahulu, beliau telah mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir Kasibun mengenai status semasa berkaitan COVID-19 dan PICK.

Daripada 113,500 populasi di Ranau, seramai 16,425 orang atau 21 peratus sudah menerima dos pertama  manakala 7,419 (9.5 peratus) untuk dos 2.

Sementara itu, pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka di Dewan Masyarakat Daerah Ranau dengan kapasiti kira-kira 300 orang dalam satu-satu masa.