Kawalan kemasukan di laluan sempadan Sarawak-Kalimantan terus diperketatkan melalui Op Benteng susulan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Tindakan proaktif tersebut merupakan langkah susulan daripada keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi mengawal kemasukan pengunjung luar ke negeri itu khasnya yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jelas Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon, pasukan dibahagikan mengikut lapisan dan mempunyai peranan masing-masing.

“Pasukan tindakan terbahagi kepada beberapa lapisan untuk melaksanakan tugasan. Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah bersedia di sempadan.

“Lapisan kedua Op Benteng pula melibatkan sekatan jalan raya (SJR),” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Tambah beliau lagi, di peringkat ketiga SJR ataupun dikenali sebagai Snapcheck, pegawai termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memeriksa kenderaan secara mobil berdasarkan maklumat risikan yang diterima sama ada dari pihak penguatkuasa mahu pun orang awam.

“Pasukan bertugas setakat ini telah berjaya melakukan dua tangkapan melibatkan PATI di Jalan Lundu, Bau dan Kuching yang merupakan jalan utama ke kawasan tersebut (Serikin).

“Setiap mereka yang ditahan perlu diperiksa bagi melihat status COVID-19 dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Ujar Poge lagi, setelah melalui prosedur tersebut, individu PATI akan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Setakat Jun sehingga Julai tahun ini, beliau memberitahu, sejumlah 5,776 kenderaan yang melalui jalan sempadan, Bau-Serikin telah diperiksa.