KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap terbaik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keselesaan warga ATM merupakan keutamaan kementeriannya dan termasuk dalam salah satu daripada lima teras Kertas Putih Pertahanan.

Dalam lawatan ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar pada Khamis, Mohamad memaklumkan beliau berpuas hati dengan operasi, organisasi dan aset-aset diperoleh, selain akan melihat kepada isu dibangkitkan berkenaan penyelenggaraan aset-aset sedia ada.

Ujarnya, pelaburan kerajaan melalui perolehan kapal selam TLDM juga telah memberi manfaat dalam memastikan kepentingan maritim negara sentiasa terpelihara.

Selain itu, dalam lawatan ke Markas 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Sabah, beberapa perkara akan dipertimbangkan pihaknya bagi memastikan kebajikan warga ATM terpelihara.

"Kem Lok Kawi ini kem yang lama, kuarters yang lama, perlahan-lahan kita cuba memelihara keselesaan warga ATM kerana ini merupakan keutamaan kerajaan menerusi lima teras buku putih pertahanan negara yang mana merangkumi kesejahteraan warga ATM, veteran, serta warga Kementerian Pertahanan (MINDEF)," katanya. 

Sehubungan itu, Mohamad berkata, pihak kementerian tidak mempunyai masalah untuk meluluskan perpindahan lokasi baharu klinik perubatan dan pergigian markas tersebut memandangkan sering berdepan bencana banjir.

Sejajar dengan objektif utama Kertas Putih Pertahanan, lawatan kerja beliau itu adalah bagi mendapatkan maklumat kesiap siagaan aset pertahanan serta kebajikan warga kerja pertahanan.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan perkembangan misi bantuan negara ke kawasan yang dilanda gempa bumi di Turkiye, katanya ATM akan menghantar 31 pegawai dan 75 anggota lain-lain pangkat termasuk doktor dan paramedik ke Turkiye bagi membantu operasi perubatan serta misi mencari dan menyelamat (SAR).

Jelas Mohamad, pasukan pertama berlepas pada Jumaat, jam 2 pagi.

Tambahnya, pasukan pertama itu juga akan mendirikan hospital medan yang terdiri daripada tiga ruang kecemasan, manakala satu ruang buat bilik-bilik bedah.

"Pihak ATM telah mendapat permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Setelah berunding dengan Kedutaan Besar Turkiye di Kuala Lumpur, kita telah memobilisasi pasukan perubatan hospital medan yang mana merangkumi tiga peringkat satu, satu peringkat dua. Peringkat satu adalah merupakan ruang kecemasan (ER).

"Kekuatan anggota adalah terdiri daripada 106 anggota dan 41 doktor.

"Sebentar tadi, pihak Turkiye turut memohon NADMA untuk menghantar 60 orang pasukan mencari dan menyelamat bagi membantu mereka," ujar beliau.