Kerajaan Kedah memutuskan agar semua acara dan program temasuk kayuhan antarabangsa di Langkawi ditangguhkan sehingga 30 April depan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, keputusan itu dibuat bagi menangani penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Katanya, serentak dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, bermula hari ini kerajaan negeri memutuskan agar semua perhimpunan termasuk acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi COVID-19 bertambah baik.

"Setakat ini ada beberapa acara yang dianjurkan oleh pihak swasta contohnya di bulan April dijadualkan satu acara kayuhan basikal di Langkawi telah ditangguhkan.

"Acara sukan seperti itu sudah dibatalkan atas sebab tanggungjawab tehadap peserta... kita tidak mahu penularan COVID-19 sampai ke tahap yang di luar kawalan," kata Mukhriz.

Mukhriz berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah “Iskoba Pekan Rabu Fun Ride” di Pekan Rabu, Alor Setar, pada Sabtu.

Bagaimanapun, kata Mukhriz, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Mac ini akan diteruskan ekoran acara itu tertutup.

Pada sidang itu juga akan dibincangkan langkah untuk menangani penularan wabak COVID-19.

"Kita akan mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan dan juga daripada Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri mengenai laporan terkini masalah penularan virus ini.

"Juga apa impak dia (COVID-19) kepada ekonomi negeri. Yang dijemput adalah ketua-ketua jabatan, wakil-wakil dari setiap daerah dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat tak kiralah kerajaan mahupun pembangkang," kata Mukhriz lagi.

Pada Jumaat, Perdana Menteri menyampaikan perutusan khas berkaitan semua acara melibatkan kerajaan pusat ditangguh atau dibatalkan bagi menangani penularan wabak COVID-19.