TUARAN: Dalam menyambut Hari Raya Aidiladha, umat Islam di Sabah dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata walaupun disambut secara kecil-kecilan mengikut norma baharu, namun semangat korban itu masih dapat dirasakan.

"Semangat korban itu masih lagi dirasai oleh kita bersama terutama bagi anggota pasukan polis Ibu Pejabat Polis di Tuaran ini.

"Mudah-mudahan sambutan Aidiladha ini walaupun dalam keadaan kecil-kecilan tetapi semangat korban sepertimana yang dituntut oleh agama Islam pada hari raya ini dapat dihayati dengan penduduk lain sekali," kata Hajiji.

Sementara itu, Hajiji turut menyeru orang ramai untuk terus mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 bagi melindungi diri, keluarga serta mereka di sekeliling.

Jelasnya, usaha untuk memvaksinasi penduduk di luar bandar akan terus dipergiat bagi memastikan tidak ada yang tercicir.

"Jadi saya juga telah memaklumkan mereka supaya mengadakan program di kampung-kampung terutama sekali di luar bandar dan juga pedalaman Sabah supaya rakyat kita di sana mempunyai kemudahan menerima vaksin," kata Hajiji.

Hajiji berkata ketika ditemui selepas menyempurnakan ibadah korban bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran.

Terdahulu, beliau telah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Haji Noor, Kampung Serusup Tuaran.