KUALA LUMPUR:Virus COVID-19 boleh terus bermutasi dan menyebabkan penyakit yang lebih teruk, kata Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed.

Dr Nurul Asmawati berkata virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 merupakan sejenis virus ribonucleic (RNA) yang sangat mudah bermutasi.

“Kalau virus, ada jenis RNA dan DNA (deoxyribonucleic acid).

“Virus RNA ini memang sangat mudah untuk bermutasi, berbanding DNA.

“Jadi memang terdapat kemungkinan untuk virus ini untuk terus bermutasi dan mungkin kami paling takut ialah ia boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

BACA: COVID-19: 317 kes baharu, tertinggi dicatatkan di Malaysia

BACA: Strain D614G: Kebolehjangkitan COVID-19 mungkin meningkat - Dr Noor Hisham

Tambahnya, mutasi virus tersebut mampu menjejaskan usaha pencarian vaksin yang berkesan bagi menentang musuh halimunan berkenaan.

“Apa yang kami faham, vaksin yang dibangunkan ini harus mensasarkan pelbagai struktur, bermakna vaksin tersebut tidak tertumpu kepada satu sasaran sahaja.

“Ini adalah idea yang baik. Sekiranya vaksin tersebut disasarkan kepada ‘envelope’ sahaja dan berlaku mutasi pada bahagian ‘envelope’, maka vaksin berkenaan tidak lagi berkesan.

“Bagaimanapun, vaksin sekarang boleh tertumpu kepada pelbagai bahagian seperti nukleus, ‘envelope’ dan sebagainya. Apabila terdapat mutasi, vaksin itu masih boleh digunakan,” jelasnya.

Pada Ogos lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata strain virus yang mengalami mutasi dikenali sebagai D614G iaitu virus perebak utama (super spreader) mampu menjangkiti 10 kali ganda lebih pantas berbanding virus COVID-19 yang asal.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata mutasi tersebut telah dikesan sejak Julai lalu, dan pakar kesihatan dunia percaya ia paling mudah merebak.