KUALA LUMPUR:Malaysia hari ini mencatatkan 1,405 kes sembuh daripada wabak COVID-19, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan setakat ini.

Bagaimanapun, jumlah kes baharu kembali mencatatkan empat angka dengan pertambahan 1,041 kes, menjadikan jumlah kumulatif terkini kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 53,679.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu terdapat sebanyak dua kes import yang menerima jangkitan dari luar negara.

Sementara itu, bagi perkembangan penularan COVID-19 mengikut negeri, Selangor mencatatkan penularan tertinggi iaitu sebanyak 402 kes diikuti Sabah dengan 346 kes, dan Negeri Sembilan sebanyak 121 kes.

Dalam pada itu, terdapat pertambahan sebanyak tiga kes baharu kematian di mana kesemuanya dari Sabah menjadi angka keseluruhan kes kematian kini sebanyak 332 kes.

Setakat ini, 108 kes positif COVID-19 sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala daripada jumlah itu, 45 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.