KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 2,897 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit meningkat berbanding semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,746,833.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 35 lagi kes kematian dengan angka kumulatif ialah sebanyak 31,369 individu.

Jumlah itu juga termasuk enam kes brought-in-dead (BID) atau kes kematian di luar hospital.


Setakat ini 302 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 169 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, jumlah kes sembuh yang direkodkan ialah 3,434 kes, sekali gus menjadikan angka kumulatif bagi kes sembuh adalah sebanyak 2,673,084.

Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu 98.3 peratus atau 2,874 kes melibatkan pesakit tidak bergejala dan gejala ringan.

Selebihnya merupakan pesakit kategori 3, 4, dan 5 iaitu sebanyak 1.7 peratus atau bersamaan 50 kes.

Dalam pada itu, empat kluster baharu turut dikesan dengan 226 kluster masih lagi aktif sementara 5,888 kluster telah diisytiharkan tamat.