PUTRAJAYA: Sejumlah 306 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang memasuki negara ini berkemungkinan adalah varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melibatkan pengembara dari 21 sehingga 25 Disember 2021.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 306 telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

306 kes kemungkinan Omicron dalam negara


Beliau pada masa sama memaklumkan bahawa kerajaan akan menarik semula sekatan perjalanan sementara ke atas lapan buah negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Jelasnya, kesemua lapan negara itu akan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini adalah 18  buah.

Senarai Negara Berisiko Tinggi varian Omicron:

1. United Kingdom
2. Amerika Syarikat
3. Australia
4. Arab Saudi
5. Norway
6. Perancis
7. Denmark
8. India
9. Kanada
10. Nigeria
11. Afrika Selatan
12. Botswana
13. Eswatini
14. Lesotho
15. Mozambique
16. Namibia
17. Zimbabwe
18. Malawi