SINGAPURA: Singapura akan memasukkan vaksinasi COVID-19 ke dalam Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan (NCIS) dan Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan (NAIS) bermula 12 Okt 2026.
Kementerian Kesihatan dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa vaksinasi COVID-19 telah ditawarkan di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan (NVP) sejak 2020 bagi memudah cara pengambilan vaksin semasa pandemik.
"Memandangkan COVID-19 akan terus menular dan menimbulkan risiko penyakit teruk, terutamanya dalam kalangan warga emas dan individu berisiko dari segi kesihatan, vaksinasi COVID-19 akan ditambah ke dalam NCIS dan NAIS bagi memastikan vaksin itu kekal mudah diakses dan berpatutan untuk orang ramai," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Vaksin berkenaan disyorkan kepada individu berumur 60 tahun ke atas; individu berisiko dari segi kesihatan berumur enam bulan ke atas; dan penghuni kemudahan penjagaan warga emas.
"Selain itu, pekerja kesihatan serta individu yang tinggal atau bekerja bersama individu berisiko dari segi kesihatan digalakkan menerima vaksin bagi membantu melindungi orang di sekeliling mereka.
Individu lain berumur enam bulan ke atas yang ingin menerima vaksin COVID-19 juga boleh terus berbuat demikian," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA