KANGAR: Kempen Internet Selamat perlu dijadikan sebagai budaya dalam masyarakat bagi memastikan penggunaan teknologi digital dilakukan secara bijak, selamat, beretika dan bertanggungjawab, kata Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Utara, Izani Othman.
Izani berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), menjadikan masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menilai kesahihan sesuatu kandungan, sebelum berkongsi atau menyebarkannya di platform digital.
“Apabila sesuatu muncul dalam FYP (For You Page) atau kumpulan WhatsApp, kita perlu fikir sejenak, betul ke ini, dari mana sumbernya dan perlu ke saya kongsi. Semak sumber dan konteks. Kalau ragu-ragu, tunggu dahulu. Tak pasti, jangan kongsi,” katanya.
Izani berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat X Prints and Pixels Expo (PriPEX) 2026 peringkat Parlimen Kangar, di Dewan 2020, di sini, semalam.
Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat X PriPEX 2026 itu, dianjurkan dengan kerjasama MCMC Perlis dan Jabatan Pendidikan Perlis.
Izani berkata, cabaran keselamatan digital kini semakin besar, apabila AI mampu menghasilkan atau mengubah gambar, video dan suara sehingga kelihatan seolah-olah benar, sekali gus memerlukan pengguna meningkatkan tahap kewaspadaan ketika menerima sesuatu maklumat.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu mengambil kira kesan terhadap individu lain sebelum berkongsi kandungan, kerana di sebalik setiap skrin terdapat manusia yang mempunyai perasaan, keluarga dan maruah.
“Kalau gambar atau video yang tular itu melibatkan kawan kita, jangan tambah masalah dengan menyebarkannya lagi. Mungkin dia sedang malu, takut atau tidak tahu hendak mengadu kepada siapa,” katanya.
Izani berkata, ibu bapa dan guru pula perlu mewujudkan persekitaran yang selamat, supaya anak-anak berani berkongsi pengalaman atau masalah berkaitan penggunaan Internet dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
“Teknologi memberi kita peluang. Ilmu membantu kita membuat pilihan. Tanggungjawab pula memastikan kita dan orang di sekeliling kita kekal selamat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan pencipta kandungan supaya menghasilkan karya sendiri serta menghormati hak cipta, privasi dan hak orang lain ketika menggunakan platform digital.
Dalam pada itu, Izani berkata, penganjuran PriPEX itu, memberi peluang kepada pelajar meneroka kreativiti menerusi penghasilan gambar, video dan reka bentuk yang boleh dimanfaatkan untuk pembelajaran, pembinaan portfolio serta peluang ekonomi digital.
-- BERNAMA