PUTRAJAYA: Jumlah kes positif COVID-19 menurun sedikit kepada 7,420 dalam 24 jam yang lepas, menjadikan angka kumulatif setakat Jumaat mencecah 2,377,033 kes.

Dalam kenyataan hari ini. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes sembuh pula sebanyak 11,413, manakala kematian terbaharu sebanyak 88 kes.

Daripada jumlah kes baharu keseluruhan, hanya 108 kes (1.5 peratus) dalam kategori 3, 4, dan 5, manakala bakinya 7,312 (98.5 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 700, dimana 635 disahkan COVID-19, manakala selebihnya suspected, probable, dan kes dalam siasatan.


Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 364, dengan 282 daripadanya disahkan COVID-19, manakala 82 lagi sebagai suspected, probable, dan kes dalam siasatan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 13 lagi kluster baharu dicatat, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang masih aktif sebanyak 721.

Berdasarkan nilai R0 semasa sehingga Khamis, hanya dua negeri dan wilayah yang mencatatkan nilai melebih satu, iaitu Negeri Sembilan (1.04) dan Putrajaya (1.04).

Nilai R0 bagi seluruh negara pula ialah 0.88.