KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menyasarkan Wilayah Persekutuan menjadi bandar-bandar pertama mencapai tahap imuniti kelompok dalam pemberian vaksin COVID-19 dalam negara.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata ini susulan Putrajaya menjadi bandar pertama mencapai 100 peratus pendaftaran vaksin di aplikasi MySejahtera.

"Saya memohon Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi perhatian untuk menyegerakan vaksinasi di Putrajaya," katanya dalam ciapan Twitter, pada Jumaat.

Setakat 2 Jun, jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 di Putrajaya sebanyak 23,954 dos pertama dan 12,403 bagi dos kedua.

Putrajaya mencatatkan 68,542 pendaftaran pengambilan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Bagi Kuala Lumpur, sebanyak 355,966 dos pertama dan 101,221 dos kedua telah disuntik kepada penerima vaksin serta mencatatkan jumlah pendaftaran 1,041,137.

Manakala Labuan pula mencatatkan pemberian 14,216 dos pertama dan 12,023 untuk dos kedua serta mencatatkan jumlah pendaftaran 41,381.