KINABATANGAN: Masalah pengangkutan, tempat tinggal yang jauh, kurang kerjasama pihak ladang, menjadi faktor kadar pemberian vaksin di Kinabatangan sangat rendah iaitu kira-kira sebanyak 24 peratus daripada 148,000 orang penerima setakat ini.

Semua faktor berkenaan membabitkan penerima vaksin bagi kategori bukan warganegara.

Pegawai Kesihatan Kinabatangan, Dr Maini Sabait berkata, 80 peratus penerima vaksin di daerah itu merupakan bukan wargenegara.

"80 peratus daripada penerima vaksin di daerah ini merupakan bukan warganegara. Setakat ini kami tidak mempunyai apa-apa masalah dengan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan penerima bukan warganegara juga tinggal di ladang-ladang seterusnya berhadapan masalah pengangkutan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Dalam masa sama, Kinabatangan tidak memiliki kemudahan pengangkutan awam seperti kawasan lain.

“Kita juga kenal pasti salah satu faktor adalah faktor kependudukan daerah Kinabatangan yang mana majoriti penduduknya adalah bukan warganegara, dan penduduk bukan warganegara ini kebanyakanya berada di sektor perladangan yang mana satu terletak jauh daripada PPV dan juga mereka sukar untuk mendapatkan kenderaan keluar ke PPV terdekat,” katanya.

Bukan itu sahaja, kadar pemberian vaksin rendah turut terkait dengan pengurusan ladang yang kurang memberikan kerjasama.

Maini berkata, terdapat kira-kira 300 ladang di Kinabatangan dan setakat ini hanya 100 lebih buah ladang memberikan kerjasama.

“Terdapat segelintir estet yang kita ketahui agak sukar untuk memberikan kerjasama dalam memberikan jumlah yang tepat berkenaan dengan jumlah sebenar pekerja bukan warganegara.

"Ini menyukarkan perancangan kita, sebab kalau kita tidak mengetahui jumlah tersebut kita cuma boleh pergi ke estet yang mengemukakan permohonan jumlah pekerja yang perlu divaksin,” katanya.

Justeru itu, Dr Maini berharap pihak ladang dapat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas kesihatan.

Dr Maini berkata, dalam meningkatkan kadar pemberian vaksin, pihaknya akan menerima petugas tambahan seterusnya mewujudkan lebih banyak pasukan bergerak dalam memberikan vaksin ke ladang-ladang kelapa sawit.