KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perlu diberikan vaksinasi kerana terdedah kepada sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC) yang boleh menyebabkan kematian jika dijangkiti COVID-19.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, berkata kanak-kanak yang pernah dijangkiti COVID-19 dan pulih sepenuhnya juga perlu melengkapkan vaksinasi.

"Kita dapati walaupun secara umum dikatakan jangkitan adalah ringan, besar kemungkinan sembuh sepenuhnya dalam tempoh tertentu. Namun sebahagian kecil kanak-kanak akan mendapati MISC maksudnya berlaku radang dalam pelbagai organ.

"Sebahagian (kes) ini akan melarat dan akan menyebabkan keadaan tidak dijangka dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi serius dan mendapat kematian," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai situasi semasa membabitkan kesan jangka panjang (long COVID) yang dialami sesetengah kanak-kanak akibat dijangkiti wabak itu.

Tambah Dr Malina, jika pola penularan terhadap golongan itu tidak diberi perhatian, bapa, beliau khuatir ia boleh menyebabkan lebih banyak penularan terhadap golongan komorbiditi terutama warga emas dalam komuniti.

"Kita bimbang keadaan ini akan menyebabkan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) akan bertambah dan memberi tekanan kepada sistem kesihatan kita," ujarnya lagi.

Justeru tegasnya, pengambilan vaksin bagi golongan itu amat penting untuk memastikan mereka tidak terdedah dengan kesan jangka panjang COVID-19.

"Untuk mereka masih belum dijangkiti, mereka perlu dapatkan suntikan vaksin seperti mana dijadualkan, jangan lagi rasa teragak agak, was-was atau tidak pasti.

"Nasihat ini datang dari semua pakar perubatan pediatrik yang merawat kanak-kanak dan melihat sendiri kesan jangkitan COVID-19 terhadap kumpulan umur tersebut," katanya.