KUALA LUMPUR : Jangkitan baharu COVID-19 merekodkan sebanyak 6,988 kes bagi tempoh 24 jam.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kini ialah sebanyak 758,967.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih berada pada paras tertinggi kes harian iaitu sebanyak 2,885 jangkitan baharu.

Sementara Kuala Lumpur merekodkan 988 kes dan Negeri Sembilan (692 kes).



Dr Noor Hisham turut memaklumkan Malaysia terus mencatatkan pertambahan 84 korban baharu menjadikan angka kumulatif kematian dalam negara kini sebanyak 5,254. 

Berdasarkan jumlah jangkitan baharu yang dilaporkan, terdapat lima kes import yang menerima jangkitan dari luar negara. 

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 65,453," katanya dalam kenyataan hariannya pada Khamis. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga berkata, sebanyak 917 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 445 orang memerlukan bantuan pernafasan. 

Manakala, jumlah keseluruhan kes pulih pula kini berjumlah 688,260 termasuk 5,580 yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.