PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menghentikan kemasukan penerbangan dari India dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata cadangan tersebut akan dikemukakan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin susulan terdapat kebimbangan mengenai varian mutasi COVID-19 dari luar negara terutamanya dari India.

“Kemungkinan besar kami akan memohon kerajaan untuk menghentikan atau mengehadkan penerbangan dari India kerana terdapat varian mutasi berganda COVID-19,” katanya pada sidang media mingguan berhubung situasi COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada Isnin.

Sebelum ini, New Delhi, India dikenakan perintah berkurung apabila merekodkan purata kes baharu COVID-19 sebanyak 200,000 sehari dipercayai berpunca daripada mutasi berganda virus berkenaan.

Dalam pada iti, Dr Adham berkata KKM juga akan mencadangkan agar tempoh kuarantin bagi pengembara yang baru tiba dari negara yang melaporkan penularan virus COVID-19 Varian Yang Membimbangkan (VOC) jenis baharu, perlu menjalani tempoh kuarantin wajib yang selama 14 hari berbanding 10 hari.

Katanya, cadangan untuk memanjangkan tempoh kuarantin adalah untuk mengelakkan penularan kes baharu berpunca daripada VOC..

“Mereka wajib menjalani kuarantin di tempat yang digazetkan sahaja.

“Cadangan ini susulan kebimbangan sekiranya gejala dari mutan ini muncul pada hari ke-10 atau ke-11," ujar beliau.