Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti di Semenyih, Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan tiga individu yang dikesan positif, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster dikenali sebagai Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2 itu membabitkan dua pegawai Imigresen dan seorang bukan warganegara.

Beliau memberitahu, kes indeks kluster ini merupakan seorang tahanan yang akan dihantar pulang ke negara asalnya.

"Justeru, beliau telah disaring untuk COVID-19 di sebuah klinik kesihatan dan dikesan positif pada 27 Ogos lalu.

"Kes kedua dan ketiga daripada kluster merupakan pegawai imigresen di DTI tersebut yang telah mengiringi kes indeks ke klinik kesihatan bagi saringan COVID-19 itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menjelaskannya, Dr Noor Hisham berkata dua pegawai imigresen itu adalah antara empat pegawai yang mengiringi kes indeks yang telah dikesan positif COVID-19.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

Menurut beliau, sehingga Jumaat, seramai 269 orang telah disaring.

Daripada jumlah itu 265 disaring di DTI Semenyih 2 di Selangor dengan dua daripada mereka dikesan positif, 123 individu disahkan negatif manakala 140 lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu katanya, empat lagi individu disaring di DTI Semenyih 2 di Negeri Sembilan dan satu kes dikesan positif.

Ujarnya, tiga individu lagi masih menunggu keputusan ujian tersebut.

"Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 134 tahanan, 129 orang kakitangan DTI serta enam ahli keluarga kakitangan," jelasnya.

Beliau memberitahu, KKM masih menyiasat punca jangkitan dan setakat ini masih dalam siasatan.

Tambah beliau, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di DTI Semenyih.

"KKM menyeru anggota-anggota barisan hadapan dari pelbagai agensi yang menguruskan kes positif COVID-19, kes yang disyaki positif COVID-19 serta kes masih di dalam siasatan termasuk Pesakit Bawah Siasatan (PUI) supaya mengambil langkah-langkah pencegahan pada setiap masa sepanjang pengurusan kes-kes ini.

"Ini termasuk pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE), penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan amalan kebersihan tangan yang optimum.

"KKM menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada anggota barisan hadapan dari pelbagai agensi yang merupakan aset negara dalam mengharungi pandemik ini," katanya.