KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepatutnya dilaksanakan semula sejurus selepas peningkatan kes positif COVID-19 di negara ini mencecah empat digit, tegas Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman.

Jelasnya, PKP yang bakal dilaksanakan tidak sama seperti pelaksanaan sebelum ini pada Mac namun prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan semula ini perlu pengubahsuaian dan lebih bersasar.

"Pada pandangan saya, sepatutnya PKP telah dimulakan sejak kita menyaksikan peningkatan kes mencecah empat digit pada dua minggu lepas.

"Bagaimanapun, PKP yang bakal dilaksanakan perlu memberikan tumpuan tertentu dan ia tidak sama seperti sebelum ini pada Mac dan April sehingga menyebabkan kesan ekonomi yang sangat besar.

"Modifikasi dapat dilakukan dalam konteks menurunkan kadar penularan jadi beberapa SOP perlu penambahbaikan antaranya beberapa operasi perniagaan dapat beroperasi seperti biasa walaupun kes dijangka meningkat menjelang Mac nanti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.


COVID-19 | Unjuran kes 8,000 menjelang Mac, adakah perlu PKP?

Mengulas berkenaan peningakatan kes menjelang Mac nanti, jelasnya pihak hospital kerajaan sudah menyediakan pelan tindakan dan strategi dari segi kemudahan rawatan bagi menempatkan pesakit.

Tambahnya, jika sistem kesihatan kerajaan terdesak, ia akan dibantu oleh sistem kesihatan swasta.

Namun, beliau sekali lagi menegaskan agar orang ramai turuti SOP yang telah ditetapkan termasuk tidak berkumpul beramai-ramai terutamanya dalam majlis keraian bagi mengelakkan peningkatan kes harian yang lebih drastik.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan statistik kes baharu COVID-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah penting RO diturunkan kepada nilai atau kurang daripada 0.5 untuk mengawal jangkitan sepenuhnya.