KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di Sabah dan dua di Pahang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Beliau memaklumkan, semua PKPD itu bermula pada 2 hingga 15 Ogos depan kecuali di lima lokaliti di Kota Kinabalu yang akan berakhir pada 14 Ogos.

Hishammuddin memaklumkan, PKPD di Sabah membabitkan lima lokaliti di Kota Kinabalu iaitu di Lorong Kuala Laut Likas, Kampung Warisan, Kampung Darau, Menggatal, Kampung Rakyat Baru dan Kuarters Pekerja Imbas Jaya.

"Manakala di Beaufort pula, dua lokaliti membabitkan Kampung Melulugus dan Lorong 3, Kampung Klias Baru dan dua lokaliti di Pahang membabitkan Bandar Melati dan Ladang senang di Rompin," katanya dalam kenyataan harian perkembangan PKP pada Sabtu.

Hishammuddin juga memaklumkan dua lokaliti di Sabah dan Pahang membabitkan Kampung Tinusa 2 di Sandakan dan Pos Iskandar di Bera yang sepatutnya ditamatkan PKPD pada 1 Ogos, dilanjutkan berkuatkuasa 2 hingga 15 Ogos depan.

Selain itu, beliau juga memaklumkan penamatan PKPD di 14 lokaliti di Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Sarawak dan Sabah pada 1 Ogos.

"PKPD di Pahang yang ditamatkan membabitkan Kuala Medang di Lipis, manakala di Sarawak membabitkan Kampung Emperoh Nyiru Grait di Kuching.

"Lima lokaliti di Sabah yang ditamatkan PKPD adalah Apartment Seri Maju di Kota Kinabalu, Kampung Simpangan di Kota Marudu, QL Farm Breeder, Jalan Stesen TV dan Kuarters Pekerja Onika Kuari di Tawau dan Taman Zifa, Bingkul di Beaufort.

"Di Kedah terdapat tiga lokaliti di Kuala Muda ditamatkan PKPD membabitkan Taman Bandar Baru Sg Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK)," katanya lagi.

Selain itu, Hishammuddin memaklumkan empat lokaliti di daerah Rembau di Negeri Sembilan membabitkan Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya dan Taman Sedia Raja (Mukim Chembong) serta Taman KSNS (Mukim Pedas) juga ditamatkan PKPD pada 1 Ogos.