KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dibenarkan untuk membeli bekalan vaksin mereka sendiri dengan syarat mendapat kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

Bagaimanapun Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, vaksin yang diperoleh itu perlu daripada syarikat farmaseutikal yang sama dibeli melalui PICK.

"Berdasarkan syarat perjanjian di antara kerajaan Persekutuan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin berkenaan, pembekalan stok vaksin yang telah ditempah perlu dan akan didahulukan kepada kerajaan (Persekutuan) bagi memastikan pelaksanaan PICK sebelum (diberi) kepada mana-mana pihak lain.

"Ia termasuk kerajaan negeri, pihak industri atau hospital swasta yang membuat tempahan dan pembelian selepas kerajaan Persekutuan, melainkan melalui pembekal yang tidak terlibat dalam PICK," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Pada masa yang sama, Khairy sekali lagi mengulangi bahawa pembekalan vaksin percuma adalah mencukupi untuk semua individu yang layak di semua negeri.

Dalam perkembangan sama, katanya Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengalu-alukan sebarang usaha dari mana-mana pihak yang ingin membantu PICK dengan menyumbangkan bekalan dos vaksin kepada PICK atau negeri dengan syarat vaksin yang akan disumbangkan telah mendapat kelulusan NPRA.

"Buat masa ini, tiga jenis vaksin yang telah mendapat kelulusan NPRA adalah vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca," katanya.

Khairy turut menjelaskan bahawa CITF mengambil maklum tentang hasrat Yayasan Sekhar untuk menyumbangkan bekalan vaksin jenis Sinovac kepada PICK.

Bagaimanapun, ujarnya, setelah diperiksa dengan pihak Sinovac di China dan Pharmaniaga iaitu pemegang lesen bagi vaksin Sinovac di Malaysia, tiada apa-apa permohonan atau pembelian mahupun dokumen rasmi berkaitan perkara ini yang telah dikemukakan oleh Yayasan Sekhar.

"CITF ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang halangan sekiranya Yayasan Sekhar atau mana-mana pihak yang mahu meneruskan hasrat murni ini namun ia haruslah disusuli dengan tindakan mengikut saluran yang ditetapkan," tambahnya lagi.