KUALA LUMPUR:Semua sekolah dan institusi pendidikan guru di Seremban yang kini menjadi zon merah COVID-19 ditutup bermula 25 Oktober sehingga 9 November depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan tersebut dikeluarkan susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di daerah berkenaan.

Menurut kenyataan itu, arahan berkenaan melibatkan 177 institusi pendidikan di daerah tersebut merangkumi sekolah rendah dan menengah selain sekolah swasta dan institusi lain di bawah KPM.

“Selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM.

“KPM memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Seremban ditutup sehingga 9 November. Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup.

"KPM juga menasihati ibu bapa atau penjaga supaya mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut, pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau ingin terus berada di asrama sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden.

Dalam tempoh tersebut segala keperluan makan dan minum pelajar akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

"Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM," katanya.