KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet untuk memberi pengecualian sementara kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada melaksanakan kenaikan gaji minimum, memberi kelegaan kepada sektor tersebut, di tengah-tengah peningkatan kos operasi serta cabaran ekonomi berterusan, menurut SME Malaysia.
Persatuan itu menyambut baik keputusan tersebut, sambil menyatakan bahawa pengecualian sementara itu akan membantu PMKS mengekalkan kelangsungan perniagaan, melindungi pekerjaan dan kekal berdaya saing, selain terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Keputusan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim pada Rabu, yang mengetengahkan tekanan operasi yang dihadapi oleh sektor tersebut.
“Pada masa sama, SME Malaysia menyokong usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja dan menyambut baik pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bagi menyediakan sokongan subsidi gaji, sekali gus membolehkan pertumbuhan gaji diselaraskan dengan peningkatan produktiviti,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, persatuan itu menggesa kerajaan memperkukuhkan lagi insentif dan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif dengan meningkatkan sokongan kewangan, meluaskan liputan dan memudahkan proses permohonan serta kelulusan.
“Mekanisme yang lebih mudah dan mudah diakses akan membolehkan lebih banyak PMKS mendapat manfaat daripada program itu, menaikkan gaji pekerja secara berperingkat serta mengurus beban kos tambahan dengan lebih baik susulan pelarasan gaji,” katanya.
Menurut SME Malaysia, usaha meningkatkan gaji pekerja dan mengekalkan daya saing perniagaan boleh dilaksanakan secara serentak.
“Mekanisme subsidi gaji dan insentif yang lebih kukuh akan memberikan kapasiti yang lebih besar kepada PMKS bagi meningkatkan imbuhan pekerja, di samping melabur dalam peningkatan produktiviti, pendigitalan, pembangunan kemahiran serta latihan,” katanya.
Pada masa sama, persatuan itu turut mengalu-alukan usaha berterusan kerajaan dengan komuniti PKS dan berharap dialog yang lebih membina mengenai pembangunan rangka kerja dasar gaji yang mengimbangi pertumbuhan pendapatan pekerja, daya saing perniagaan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
-- BERNAMA