Skip to main content

Dunia

PBB beri amaran penduduk Gaza masih berdepan krisis kemanusiaan yang kompleks

Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan yang kompleks walaupun terdapat beberapa kemajuan dalam kemasukan bekalan makanan. - Gambar fail/Reuters
Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan yang kompleks walaupun terdapat beberapa kemajuan dalam kemasukan bekalan makanan. - Gambar fail/Reuters

Advertisement

RAMALLAH: Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan yang kompleks walaupun terdapat beberapa kemajuan dalam kemasukan bekalan makanan, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Pemangku Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Damai Asia Barat dan Penyelaras Kemanusiaan PBB bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Ramez Alakbarov berkata, masalah berkaitan bekalan air, sanitasi, tempat perlindungan dan pengurusan sisa masih berlarutan.

Beliau berkata, kebergantungan terhadap bantuan dan bantuan tunai kekal tinggi berikutan pasaran buruh yang masih belum pulih.

Dalam satu temu bual dengan media, Alakbarov berkata, PBB terus memberikan sokongan dalam bidang bekalan air dan sanitasi, kesihatan, pembersihan runtuhan, pendidikan serta bantuan kepada petani di Gaza.

Lebih 300,000 kanak-kanak di Gaza kini menerima pendidikan di ruang pembelajaran sementara manakala hanya sebahagian kecil tanah masih tersedia untuk aktiviti pertanian.

Beliau berkata, Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) terus beroperasi di Gaza walaupun berdepan sekatan yang dikenakan terhadapnya, sambil menegaskan yang lebih 8,000 orang masih dilaporkan hilang di bawah runtuhan di seluruh Semenanjung Gaza.

Alakbarov berkata, penduduk Gaza meluahkan hasrat mereka untuk tidak menghabiskan satu lagi musim sejuk di dalam khemah, sebaliknya mahu kembali ke sekolah dan tempat kerja, menyumbang kepada usaha membina semula komuniti mereka serta memulihkan perkhidmatan air, sanitasi dan elektrik.

Di Tebing Barat, penyelaras PBB itu menyifatkan keadaan sebagai “amat tegang”, dengan menyebut pengembangan penempatan yang berterusan, keganasan oleh peneroka, sekatan pergerakan dan tekanan ekonomi.

Beliau berkata, PBB menyediakan geran, bantuan tunai serta sokongan undang-undang kepada keluarga dan komuniti yang terjejas.

Dari sudut politik, Alakbarov menegaskan, penyelesaian dua negara merupakan satu-satunya pilihan, selain menekankan keperluan menangani isu Palestin secara menyeluruh, membina semula kepercayaan, menamatkan hasutan keganasan serta menyokong kesatuan institusi Palestin.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video

Advertisement