Skip to main content
Advertisement

Malaysia

F1 GP Bahrain: hampir 100,000 tiket terjual, 3,000 berbaki

SEPANG, 30 Sept - Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif ketika menghadiri sidang media mengenai aliran trafik dan pengangkutan sempena Grand Prix F1 Bahrain 2026 yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan kerjasama SIC dan Bahrain International Circuit (BIC) malam ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azhan Shafriman ketika menghadiri sidang media mengenai aliran trafik dan pengangkutan sempena Grand Prix F1 Bahrain 2026 yang dianjurkan IPD KLIA dengan kerjasama SIC dan BIC malam ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh menjelang Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 hujung minggu ini, dengan hampir 100,000 tiket terjual sekali gus mencatat rekod jualan tertinggi dalam sejarah penganjuran perlumbaan di litar berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata hanya kira-kira 3,000 tiket masih berbaki membabitkan tempat duduk grandstand dan hillstand yang boleh dibeli secara dalam talian menerusi bahraingp.com.

“Ini merupakan angka yang tidak pernah kami lihat sebelum ini dari segi penjualan tiket,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai persiapan, beliau berkata tahap kesiapsiagaan litar kini mencapai 100 peratus dengan hampir keseluruhan kargo logistik telah tiba menjelang pembukaan paddock esok.

Azhan Shafriman berkata pencapaian itu amat membanggakan memandangkan SIC hanya mempunyai tempoh kurang dua bulan untuk membuat persiapan berbanding enam hingga tujuh bulan bagi penganjuran perlumbaan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata SIC bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memantau kualiti udara susulan keadaan jerebu menjelang perlumbaan berkenaan.

Beliau berkata operasi pembenihan awan turut dijalankan di kawasan sekitar SIC bagi menggalakkan hujan dalam tempoh sehari dua ini, sekali gus membantu mengurangkan jerebu di Sepang.

“Pelbagai persiapan yang kita lakukan menjurus kepada keadaan yang ideal. Tetapi kalau keadaan tidak ideal, kita kena lihat keadaan semasa pada ketika itu.

“Dari segi jerebu, kita ada nilai ambang (IPU untuk membatalkan atau menangguhkan perlumbaan). Dengan pembenihan awan, kita harap hujan yang turun dapat mengurangkan jerebu dan tahap IPU tidaklah setinggi yang dijangkakan,” katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Gulf Air Bahrain GP dari Jumaat hingga Ahad ini susulan perjanjian antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perjanjian itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement