KUALA LUMPUR: Kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kebanyakan bekas pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 masih mengalami simptom termasuk batuk dan sukar bernafas walaupun selepas beberapa minggu disahkan sembuh.

Menurut kajian berkenaan, sebanyak 66 peratus daripada 1,004 bekas pesakit yang menjadi sampel ujian, menunjukkan simptom berkenaan.

Pakar Perunding Ortopedik, Medical MythBusters Malaysia, Dr Mahyuddin Mohamed berkata, simptom tersebut masih berlaku meskipun selepas 12 minggu sembuh daripada jangkitan COVID-19.

“Ada lima simptom yang mereka alami iaitu kelesuan badan, sukar untuk bernafas apabila membuat aktiviti, batuk-batuk, rasa kegelisahan atau keresahan dan yang kelima (mereka) ada masalah untuk tidur malam,” ujarnya menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman YouTubenya.

Dr Mahyuddin menjelaskan, tiada ubat khusus yang boleh merawat simptom berkenaan, sebaliknya pesakit hanya boleh dipantau bedasarkan simptom yang dihidapi.

“Masalah ini cuma rawat secara simptom. Tiada ubat khusus bagi merawat simptom ini.

"Kita jangan sangka mereka yang sembuh daripada COVID-19 ini boleh sembuh sepenuhnya, ada yang tidak sembuh sepenuhnya.  Adalah lebih baik kita elak daripada jangitan COVID-19 ini,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan supaya masyarakat agar mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti virus berkenaan.