KUALA LUMPUR :Tidak timbul isu takut mati kerana kematian boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang menjawab dakwaan tidak turun padang yang dilemparkan terhadapnya, menjelaskan pengurusan COVID-19 di Sabah telah dirancang sebaik mungkin dengan matlamat utama bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik dan menurunkan kadar kematian.

“Tidak timbul isu takut mati, ini kerana sebagai seorang Islam, kita terima kematian itu di mana-mana saja akan berlaku.

“Bukan hanya turun padang atau tidak. Apa yang lebih penting adalah kita pasangkan niat untuk kita laksanakan tugas kita.

“Niat kita ketika ini adalah putuskan rantaian COVID-19... itu tujuan utama kita. Kita boleh berselisih pendapat tetapi apa yang pasti adalah kita laksanakan tanggungjawab untuk selamatkan negara kita daripada peningkatan kes dan kadar kematian,” jelasnya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, pada Rabu.


Malah jelasnya, beliau bukan tidak pernah turun padang sebaliknya meninjau keadaan di Sabah akhir Ogos lalu bersama pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Di KKM, kami telah membuat rancangan yang khusus terutamanya di Sabah. Sebelum ini saya sudah turun pada pada akhir bulan Ogos bagi memantau pengurusan iaitu kesiapsiagaan kita menjelang PRN Sabah.

“Saya juga telah arahkan timbalan saya Datuk Dr Chong Chee Keong untuk meninjau pengurusan COVID-19 di negeri itu minggu lepas... (Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri) Tan Sri Dr Jemilah Mahmood juga (meninjau) dua minggu lepas bagi mengenal pasti isu yang timbul di Sabah,” ujarnya.

BACA: Gara-gara kenyataan 'KP Kesihatan takut mati', Dewan Rakyat jadi medan bertikam lidah

Terdahulu, sidang perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 hari ini kecoh apabila Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut Dr Noor Hisham takut mati.

Tiong mendakwa Dr Noor Hisham tidak berani turun ke Sabah, ketika negeri itu mengalami kesan paling teruk akibat gelombang ketiga COVID-19.

Dakwaan itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit membantah kenyataan itu, yang beliau sifatkan sebagai penghinaan kepada Dr Noor Hisham dan petugas barisan hadapan.