Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berkenaan hujan dan ribut petir yang berpanjangan sejak awal bulan ini dikatakan tidak memberikan kesan buruk terhadap ahli politik yang rancak berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Mazurah Ismail, Datuk Raja Nong Chik banyak meluangkan masa rehatnya dengan turun padang bagi melawat mangsa banjir khususnya sekitar kawasan Lembah Pantai.

“Sehingga kini, tiada satu pun lagi perasmian majlis atau perancangan kempen dibatalkan oleh Datuk Raja Nong Chik disebabkan hujan malah beliau lebih banyak meluangkan masa turun padang melawat mangsa pada masa lapangnya,” kata Mazurah ketika dihubungi Astro Awani.

Dalam pada itu, hujan lebat yang berpanjangan semalam telah menyebabkan banjir di Bangsar khususnya di kawasan Universiti Malaya yang dilaporkan sebagai insiden terburuk pernah berlaku di kawasan itu.

lala

"Hujan yang lebat dan berpanjangan adalah punca utama kawasan ini dinaiki air," tambahnya.

Takungan air berkenaan dilaporkan surut pada jam 11 malam (Rabu) manakala beberapa buah kenderaan terpaksa ditunda ke bengkel akibat kemasukan air.

Kerusi panas Parlimen Lembah Pantai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi dan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal dan calon Bebas Rusli Baba.

Sementara itu, wakil calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Dr. Nasir Hashim ketika dihubungi turut menyatakan proses berkempen berjalan dengan lancar mahupun cuaca tidak menentu.

"Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar, cuma ada beberapa perubahan yang telah dilakukan seperti penukaran lokasi ceramah dari tempat yang terbuka kepada tertutup bagi keselesaan semua pihak.

"Saya bersyukur kerana tiada kejadian banjir berlaku di sekitar Kota Damansara ini," katanya kepada Astro Awani.

Kerusi Dun Kota Damansara kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru selain BN, Pas dan PKR, dua calon bebas turut mencuba nasib. Mereka ialah Halimaton Saadiah Bohan (BN), Ridzuan Ismail (Pas), Dr Mohd Nasir Hashim (PKR), Datuk Edros Abdullah (Bebas) dan A Suupiah dan Halmi Omar (Bebas).