Sektor pelancongan ke Melaka tidak terjejas meskipun negara dilanda cuaca panas dan kering ketika ini, kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan terutama daripada pemain industri perhotelan yang terjejas akibat daripada perubahan cuaca yang melanda seluruh negara malah menerima kehadiran menggalakkan terutama daripada pelancong barat.

"Berbeza dengan kita, pelancong asing begitu gemarkan keadaan cuaca sebegini malah mereka tidak akan melepaskan peluang untuk berjemur bagi mendapatkan 'tanned skin'. Selain itu, kita turut menerima kertas kerja mengadakan aktiviti melibatkan air di Pantai Klebang.

"Berdasarkan pemerhatian, tiada lokasi pelancongan yang terjejas teruk namun pelancong didapati agak kurang menjelang waktu tengah hari berikutan cuaca panas di kawasan pelancongan terbuka seperti Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini tetapi kembali rancak pada waktu petang," katanya.

Muhamad Jailani berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelantikan dan Bacaan Ikrar Bebas Rasuah Sidang Pentadbiran kerajaan Negeri Melaka 2019 di dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini yang turut hadir Ketua Menteri Adly Zahari.

Sementara itu, Bahagian Promosi Pelancongan Melaka ketika dihubungi Bernama tidak dapat memberikan jumlah kedatangan pelancong pada musim cuaca panas ini, dan akan memberikan kenyataan tentang jumlah itu setelah dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Adly berkata meskipun cuaca panas tidak menganggu sektor pelancongan Melaka, kerajaan negeri akan tetap membuat pemantauan ketat terhadap kesan cuaca panas itu kepada rakyat terutama melibatkan penularan denggi dan pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata pada masa ini cuaca panas yang melanda negara tidak memberikan kesan secara langsung kepada rakyat, namun kerajaan negeri menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti meminum air yang cukup untuk kekal hidrat.

"Bekalan air di Melaka juga sekarang terkawal (mencukupi), kita akan buat pemantauan (kesan cuaca panas) dan akan buat penambah baikkan daripada masa ke semasa bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan dengan cuaca ini," katanya.

Pada 15 Feb lepas Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan sebagai berkata cuaca panas itu dijangka berterusan hingga hujung bulan depan dan ia fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

-- BERNAMA