ALOR SETAR: Cuaca panas yang melanda negara terutama melibatkan kawasan utara tanah air terutama di Kedah sejak dua bulan lalu telah merubah beberapa aktiviti rutin penoreh di Kedah.

Ianya termasuklah inisiatif yang diambil lebih 70 penduduk Felda Laka Selatan, Changlun yang beralih kepada melakukan aktiviti menoreh pada waktu malam daripada waktu siang sebelum ini.

Menurut Pengerusi Biro Ladang Felda Laka Selatan, Mohd Jamil Shahbidin, 63, keputusan yang diambil itu bukan sahaja bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti strok haba apabila menoreh pada waktu siang, malah ianya disebabkan waktu yang lebih panjang diperlukan untuk menoreh pokok getah ketika musim panas.

"Menoreh pada waktu malam ini sebab keadaan siang terlalu panas maklumlah sekarang ini panas, hasil getah ini kalau waktu malam dia ada sikit, kalau siang kalau menoreh hanya dua jam sahaja dia boleh menitik, tetapi malam boleh pergi sehingga lima jam.

"Kami masyarakat di Felda ini semua menoreh pada sebelah malam, paling awal kami datang ada yang pukul 8 malam dan sehingga paling lewat 4 pagi, dan adanya sampai Subuh, dengar sahaja azan kami balik, boleh dikatakan 90 peratus (penoreh di sini menoreh malam), bersamaan 70 orang lebih.

"(Perbezaan ketara adalah) susu getah adalah ketara sebab malam ini susu dia lebih sikit dan di sini yang mana menoreh malam hasil dapat dalam 1 tan atau lebih sedikit," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Sementara itu, bagi seorang lagi penoreh, Mohd Nor Hamid, 75, memaklumkan bahawa beliau akan melakukan aktiviti menoreh pada waktu malam secara berkumpulan bersama dua lagi rakannya selepas solat Isyak sehingga jam 2 pagi.

Langkah itu merupakan perkara biasa yang dilakukannya sejak lima tahun lalu ketika cuaca panas melanda bermula dari awal tahun sehingga bulan Mei.

"Perkara ini kan (biasa dilakukan kami) sebab panas terlalu kuat ketika ini, kita buat kerja pun (menoreh waktu siang) kadang-kadang kena berhenti awal, saya datang menoreh 7.30 pagi mula, pukul 9 pagi kena berhenti, lagipun susu (getah) tak mahu turun, sampai pukul 10 pagi sahaja (kalau) waktu siang, (kalau) malam dia lajak (lama) sikit sebab sejuk," katanya.

Langkah itu merupakan perkara biasa yang dilakukannya sejak lima tahun lalu ketika cuaca panas melanda bermula dari awal tahun sehingga bulan Mei. - Foto Bernama

Bagi seorang lagi penoreh, Rodhi Md Rejab, 47, aspek keselamatan juga menjadi aspek terpenting untuk penoreh-penoreh yang terlibat dalam aktiviti menoreh pada waktu malam memandangkan aktiviti yang dilakukan adalah di kawasan ladang yang gelap gelita.

Walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi, dia menyatakan bahawa aktiviti menoreh perlu dilakukan demi mencari rezeki meskipun hasil yang diperoleh sedikit berkurang ketika musim panas.

"Walaupun kita ini menoreh getah, kita perlu pastikan keselamatan terjaga elok, contohnya pakai kasut but, lampu yang sesuai kemudian kebun kita perlu bersih daripada semak-semak, insya-Allah kalau jaga semua itu selamat.

"Beza memang ketara, pertama sekarang ini musim luruh, musim luruh hasil berkurangan banyak kerana susu getah dijana melalui akar-akar kecil dan daun getah jadi apabila daun luruh susu getah berkurangan, kena menoreh juga demi sesuap nasi boleh walaupun tak banyak tetapi tetap ada," katanya.

aktiviti menoreh perlu dilakukan demi mencari rezeki meskipun hasil yang diperoleh sedikit berkurang ketika musim panas. - Foto Bernama

Pada Sabtu, menerusi perkongsian Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) di laman Facebook, sebanyak 10 kawasan di beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah, kini mengalami cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) termasuk tujuh daerah di Kedah.

Antara kawasan terlibat adalah Pulau Langkawi, Kota Setar, Yan, Pendang, Pokok Sena, Sik dan Baling.

Menurut MetMalaysia, bagi cuaca panas tahap satu ini suhu maksimum harian 35 sehingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.