Cubaan dua lelaki untuk menyeludup 100 bungkus daun ketum seberat satu tan ke Lembah Klang gagal apabila lori tiga tan yang dinaiki suspek ditahan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, polis yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu trlah bertindak mengekori lori di bawa suspek.

Bagaimanapun, kata beliau, sebaik tiba di jalan Kampung China, Kubur Panjang, polis telah bertindak memintas dan mengarahkan pemandu memberhentikan lori terbabit.

Katanya, sebaik pemeriksaan dilakukan, polis menemui sejumlah daun ketum yang diikat dalam plastik lutsinar sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik hitam yang disusun di bahagian belakang lori berkenaan.

Arriz Sham berkata, hasil siasatan, dua lelaki itu mengaku dalam perjalanan membawa 100 bungkusan daun ketum itu ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, mereka menggunakan lori itu untuk mengaburi pihak berkuasa, malah pernah dua kali melakukan kegiatan sama menyeludup daun ketum sebelum ini menggunakan lori yang sama.

Daun ketum itu dipercayai mendapat permintaan tinggi di Kuala Lumpur menyebabkan mereka mengambil peluang untuk melakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bagi mengaut keuntungan.

Arriz Sham berkata, daun ketum itu dipercayai diperoleh di kawasan di sekitar daerah Pendang dengan harga pasaran di sini sekitar RM12 sekilogram.

Beliau berkata, daun ketum itu bagaimanapun mampu dijual dengan harga RM30 sekilogram di Lembah Klang iaitu peningkatan dua kali ganda.

Katanya, nilai keseluruhan daun ketum yang dirampas dianggarkan sebanyak RM30,000 manakala lori itu disita sehingga siasatan selesai.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Arriz Sham berkata, kedua-dua suspek turut dikenakan tindakan di bawah Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, ini rampasan terbesar membabitkan daun ketum di daerah ini sepanjang tahun ini.