KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, menyarankan semua pihak agar sentiasa menjaga keharmonian dan perpaduan dalam bersolidariti kepada rakyat Palestin.

Menurut Mohd Na’im, kekejaman melampaui sifat kemanusiaan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah jelas tidak boleh diterima sama sekali.

Malah tambah beliau, cukup sekadar memboikot jenama-jenama antarabangsa yang didakwa ada kaitan dengan Israel dan tidak bertindak ganas serta ekstrem sehingga mengundang keresahan awam.

“Apa jua tindakan yang diambil untuk menunjukkan solidariti kepada umat Palestin perlulah dibuat atas asas ilmu dan akhlak,” kata Mohd Na'im dalam satu mesej ringkas.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa ajaran Islam dengan jelas melarang tindakan mencemuh, memberi gelaran buruk dan mengaibkan mana-mana pihak.