KUALA LUMPUR : Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandang serius laporan seorang lelaki yang berdepan masalah akibat maklumat peribadinya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab pada bil elektrik di dua buah premis, dan akan mendapatkan penyelesaian yang terbaik.

Semakan terperinci pihak TNB mendapati akaun di bawah nama Chew Ee Liang yang bertempat di dua buah rumah kedai di Cheras, Kuala Lumpur, juga terlibat dengan penyambungan elektrik secara haram dan tuntutan berjumlah RM378,336.20 adalah bagi tempoh antara September 2018 hingga Mei 2020.

"Kami akan dapatkan penyelesaian terbaik bagi pengguna itu sekiranya terbukti dia menjadi mangsa pihak ketiga yang menyalahgunakan dokumennya.

"Kami bersimpati kepada pengguna itu atas dakwaan kecurian identitinya," kata satu kenyataan daripada pihak TNB. 

Tambah kenyataan itu, kes berkenaan telah difailkan di mahkamah, iaitu Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur telah menetapkan 26 Julai 2022 sebagai tarikh pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan terbaru.

Laporan mengenai masalah pengguna berkenaan telah disiarkan di Astro AWANI pada 22 Julai lalu.

BACA: Jurutera bingung maklumat peribadi disalah guna buat akaun TNB

"Orang awam, terutamanya yang pernah kehilangan dokumen identiti mereka adalah dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak utiliti, bank, insurans atau agensi-agensi perkhidmatan yang lain bagi memastikan identiti mereka tidak disalah guna untuk pembukaan akaun di syarikat-syarikat tersebut," kata kenyataan itu.

Selain itu, pengguna myTNB app pula boleh menggunakan myTNB untuk menyemak akaun-akaun yang didaftar di bawah nombor kad pengenalan mereka.

"Semua akaun di bawah nombor kad pengenalan yang berdaftar sebagai pemegang akaun TNB akan disenaraikan secara automatik sebaik sahaja myTNB app dibuka. Sekiranya akaun yang menimbulkan syak muncul di myTNB, pelanggan boleh menghubungi TNB dengan kadar segera untuk semakan lanjut."

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454.