Skip to main content

Malaysia

Festival Of Ideas Putrajaya: Akuaponik pintar bersolar UiTM perkasa ekonomi komuniti OKU

Projek penyelidikan dan inovasi sosial itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang, Pulau Pinang, menerusi gabungan penternakan ikan, penanaman sayur-sayuran, teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan tenaga solar.
Projek penyelidikan dan inovasi sosial itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang, Pulau Pinang, menerusi gabungan penternakan ikan, penanaman sayur-sayuran, teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan tenaga solar.
Advertisement

SHAH ALAM: Inovasi Akuaponik Pintar Bersolar yang dibangunkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bukan sekadar memperkenalkan teknologi pertanian moden, malah membuka peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) khususnya pelatih autisme untuk membina kemahiran dan menjana pendapatan melalui aktiviti pengeluaran makanan.

Projek penyelidikan dan inovasi sosial itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang, Pulau Pinang, menerusi gabungan penternakan ikan, penanaman sayur-sayuran, teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan tenaga solar.

Image
Inovasi UITM_UITM


Ketua Penyelidik Prof Madya Ir Ts Dr Suzi Seroja Sarnin, berkata projek itu tercetus daripada hasrat memastikan hasil penyelidikan universiti bukan sekadar menghasilkan teknologi baharu, malah memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

"Saya melihat peluang untuk mengembangkan aktiviti hidroponik yang sudah diusahakan pelatih PPDK Teluk Bahang kepada sistem akuaponik pintar yang menggabungkan penternakan ikan dan penanaman sayur-sayuran.

"Keistimewaan sistem itu terletak pada kitaran air daripada tangki ikan yang melalui proses penapisan sebelum disalurkan kepada tanaman, sebelum dikitar semula ke tangki ikan, sekali gus membantu mengurangkan pembaziran air.

"Teknologi IoT pula membolehkan parameter kualiti air seperti suhu dan nilai pH dipantau menggunakan sensor, selain dilengkapi ciri pemberian makanan ikan secara automatik serta kawalan air mengikut konfigurasi sistem yang dibangunkan,"katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
 

Image
Inovasi UITM_UITM


Menurutnya, penggunaan tenaga solar membantu menyokong operasi sistem lebih lestari, manakala sumber air hujan turut dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada pendekatan penjimatan sumber.

Suzi berkata, projek itu bukan sekadar membabitkan pemasangan teknologi, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pemindahan ilmu dan latihan praktikal kepada petugas serta pelatih PPDK Teluk Bahang.

"Antara aktiviti yang diajar termasuk menyemai benih, menjaga tanaman, memberi makanan ikan, membersihkan penapis serta memahami operasi asas dan penyelenggaraan peralatan. Latihan itu disesuaikan mengikut tahap keupayaan peserta supaya mereka dapat mengambil bahagian secara berperingkat.

"Dari sudut ekonomi, hasil ikan dan sayur-sayuran daripada sistem itu boleh dipasarkan kepada komuniti setempat. Berdasarkan maklum balas PPDK Teluk Bahang dalam laporan projek, jualan hasil berkenaan membantu menambah sumber kewangan pusat terbabit.

Advertisement
Image
Inovasi UITM_UITM



"Malah, laporan itu merekodkan peningkatan lebih 40 peratus dalam jumlah pendapatan daripada aktiviti hidroponik, akuaponik dan set 3R pada 2025 berbanding tahun sebelumnya. Peserta turut diberi pendedahan kepada asas keusahawanan, pemasaran dan penggunaan platform digital bagi memperluas pasaran.

"Melalui projek ini, kami mahu menunjukkan bahawa dengan teknologi yang bersesuaian, latihan yang berstruktur dan sokongan berterusan, golongan OKU boleh diberikan peluang untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan ekonomi dan komuniti," katanya.

Beliau berkata, inovasi seharusnya dinilai berdasarkan manfaat yang diberikan kepada masyarakat, bukan hanya kecanggihan teknologi yang dihasilkan, sambil berharap lebih banyak institusi pendidikan, industri dan agensi kerajaan bekerjasama memperluas peluang pembangunan kemahiran serta ekonomi untuk golongan OKU.

Image
Inovasi UITM_UITM



Inovasi ini adalah hasil daripada penyelidikan UiTM yang memberikan impak secara terus kepada masyarakat bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Festival Of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Must Watch Video

Advertisement